Monday, October 12, 2015

KASUMA (KARNIVAL SUKAN MALAYSIA)


Pada 3 Oktober 2015 telah berlangsungnya program KASUMA Sports Day 2015 bertempat di Inha Universiti,Incheon dengan jayanya. Program ini adalah merupakan salah satu aktiviti sukan yang dipertandingkan dalam program Karnival Sukan Mahasiswa Korea Selatan 2015 (KASUMA) di bawah kelolaan Biro Sukan dan Rekreasi PPMK 2014/2015 setelah berlangsungnya KASUMA Indoor Games yang telah dilaksanakan pada bulan April yang lalu.
Sebanyak 8 jenis kategori sukan telah dipertandingkan dalam program ini iaitu bola sepak (L), bola baling (L), bola baling (P), bola keranjang, bola jaring, tarik tali (L), lari 100 meter (L) dan lari 100 meter (P). Program ini telah menggunakan sistem pertandingan antara batch yang juga dikenali sebagai sistem “Batch War” yang terdiri daripada Batch 11, Batch 12, Batch 13, Batch 14 dan Batch 15.

Program ini telah dimulakan dengan ucapan aluan serta bacaan doa oleh Pengarah Program iaitu Saudara Wan Abdul Raheem Rasyeed Bin Wan Lokman. Setelah selesai ucapan aluan serta bacaan doa, program diteruskan dengan acara-acara yang dipertandingkan. Pada sesi pagi telah berlangsungnya acara bola sepak, bola baling, bola keranjang dan bola jaring. Pada sesi petang pula, beberapa acara sesi pagi bersambung semula dan acara 100 meter lelaki dan perempuan bermula dan diakhiri dengan acara tarik tali. Program ini telah berakhir dengan ucapan penutupan oleh Puan Noor Aida binti Misran selaku Setiausaha Pertama Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan Seoul serta upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang yang telah disampaikan juga oleh Puan Noor Aida dan Encik Khairul Effandi bin Shafiee selaku Setiausaha Ketiga (Hal Ehwal Pelajar).

Pada keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan hasil kerjasama daripada semua pihak yang terlibat . Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa dan para peserta yang memberikan komitmen dan sokongan yang padu dalam menjayakan program ini. Pihak PPMK juga ingin memohon maaf andai berlaku kesilapan dan kekurangan sepanjang mengendalikan program ini. Diharapkan agar program ini dapat diteruskan di masa hadapan dengan mengambil kira isu cadangan yang telah dibangkitkan oleh peserta dalam program ini.

No comments:

Post a Comment